Sekolah jadi pusat peperiksaan SPM disanitasi  - Utusan Malaysia

Sekolah jadi pusat peperiksaan SPM disanitasi 

ANGGOTA JBPM menjalankan proses sanitasi dan disinfeksi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai langkah pencegahan Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 30 buah sekolah yang menjadi pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebagai langkah pencegahan Covid-19. 

Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, proses sanitasi dan disinfeksi itu dijalankan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM bermula esok. 

“Pelaksanaan sanitasi dan disinfeksi telah dijalankan sejak minggu lepas oleh anggota JBPM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, semalam, 10 buah sekolah di daerah Timur Laut turut disanitasi oleh JBPM. 

“Sebenarnya, tiada keperluan (sanitasi) disebabkan tiada kes positif Covid-19 di situ (sekolah), pelajar juga turut tidak hadir ke sekolah sebelum ini,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan menurut beliau, sebanyak 19,919 calon SPM termasuk pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah agama, sekolah swasta, sekolah agama rakyat dan sekolah persendirian di negeri ini akan menduduki peperiksaan tersebut di 151 pusat peperiksaan. 

“Calon SPM daripada sekolah kerajaan ialah seramai 18,128 orang. 

“Jika terdapat calon yang disahkan positif Covid-19, calon berkenaan tidak dibenarkan untuk menduduki SPM dan akan dijadualkan semula untuk menduduki peperiksaan berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN