Sejam 'bertarung' dengan ikan tapah 68 kg - Utusan Malaysia

Sejam ‘bertarung’ dengan ikan tapah 68 kg

SAZALI menunjukkan ikan tapah gergasi yang berjaya ditangkapnya di Sungai Ban Kenal, Kampung Parit Dua, Tanjong Karang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Nelayan ‘bertarung’ selama sejam untuk mendaratkan seekor ikan tapah gergasi seberat 68 kilogram (kg) di Kampung Parit Dua, Tanjong Karang di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Sazali Mohd. Amin, 59, terpaksa menggunakan seluruh kudratnya bagi ‘menjinakkan’ ikan yang berada pada joran buluh miliknya.

Ujar datuk kepada tiga cucu itu, dia memacakkan joran tersebut di tebing Sungai Ban Kenal yang terletak berhampiran rumahnya, kira-kira pukul 7 petang kelmarin.

“Namun, pada keesokan paginya, saya pelik melihat joran itu beralih di tengah sungai lalu mengayuh sampan untuk memeriksanya.

“Saya kemudian cuba mengambil joran itu, namun, terkejut apabila sampan ditarik sejauh 200 meter,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian petang tadi.

Sazali berkata, dia seterusnya mengambil tali untuk mengikat joran dan kembali ke tebing sungai itu.

“Berbekalkan tenaga yang ada, saya menarik joran itu selama sejam dan terkejut melihat ia rupa-rupanya seekor ikan tapah gergasi.

“Selepas mendaratkan ikan itu, saya segera mengangkatnya ke sampan dan memanggil seorang anak lelaki untuk membantu,” katanya.

Ujarnya, ikan itu merupakan tangkapan kedua terbesar sepanjang hampir 50 tahun dirinya menjadi nelayan darat di kampung tersebut.

“Pada empat tahun lalu, saya pernah mendaratkan ikan spesis sama seberat hampir 100kg di sungai itu.

“Namun, saya menganggap tangkapan terbaru ini sebagai rezeki dan hadiah hari jadi yang disambut beberapa hari lalu,” katanya.

Tambah Sazali, ikan tapah itu dijual dengan harga hanya RM1,000 kepada pihak pengurusan masjid kampung tersebut.

“Saya menjualnya dengan harga lebih murah berbanding pasaran kerana ikan ini akan dijamu kepada penduduk,” katanya.

Terdahulu, hasil tangkapan Sazali itu turut tular di media sosial sehingga menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dengan ikan gergasi tersebut.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya