Segerakan penebusan GCR - Utusan Malaysia

Segerakan penebusan GCR

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi digesa menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai seperti diumum dalam Belanjawan 2020.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, selain itu kerajaan juga digesa meminda peraturan berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan pelaksanaan itu dilakukan.

“Kebanyakan pasangan penjawat awam pekerja di sektor atau berniaga kecil-kecilan yang mungkin sudah dibuang kerja dan terjejas pendapatan akibat tidak boleh berniaga.

“Kos belanja sara hidup yang selama ini dikongsi secara bersama terpaksa dipikul sendiri oleh penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cuepacs sebelum ini pernah menyuarakan gesaan serupa kepada kerajaan pada Februari tahun 2020 tetapi mendakwa sehingga kini GCR masih belum diberikan kepada penjawat awam.

Berdasarkan Belanjawan 2020, GCR sepatutnya boleh dituntut pada 1 Januari 2020, tetapi tiada sebarang pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan penebusan GCR selama 75 hari kepada wang tunai bagi penjawat yang berkhidmat selama 15 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kajian semula itu wajar kerana penebusan awal GCR ketika dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam.

Dalam pada itu. Adnan menambah, kebanyakan penjawat awam yang layak menebus GCR sudah berkhidmat lebih 15 tahun dengan jumlah pertambahan bilangan keluarga mungkin ramai sehingga memerlukan perbelanjaan lebih tinggi.

“Perbelanjaan lebih besar apabila ada anak mahu melanjutkan pengajian ke kolej dan universiti. Soal memberikan keuntungan atau kerugian kepada penjawat awam jika GCR ini ditebus awal adalah perkara kedua.

“Perkara pertama berkaitan kelangsungan hidup yang perlu diteruskan ketika ini berbanding selepas usia persaraan. Jangan dilihat penjawat awam dalam konteks individu tetapi lihat dalam konteks isi rumah yang turut terkesan dengan pandemik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN