Scammer guna nama dan gambar Ketua Menteri Melaka - Utusan Malaysia

Scammer guna nama dan gambar Ketua Menteri Melaka

SCAMMER guna nama dan gambar Ketua Menteri Melaka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagainya menerusi aplikasi WhatsApp, kini nama serta gambar profil Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pula disalah guna.

Pejabat Ketua Menteri Melaka meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tindakan penipuan yang menggunakan identiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu dalam media sosial.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis jika mereka yang terlibat tidak menghentikan perbuatan berkenaan.

“Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik dan imej Ketua Menteri Melaka, bahkan, boleh menyebabkan kerugian dan kesusahan kepada pihak yang terpedaya dan menjadi mangsa penipuan.

“Sehubungan itu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta agar pihak yang tidak bertanggungjawab itu segera menghentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, MBMB meminta orang ramai tidak terpedaya dengan pihak yang menyamar sebagai Datuk Bandar menerusi aplikasi WhatsApp.

Zainal menerusi satu kenyataan melahirkan rasa kesal apabila gambarnya dimanipulasi sebagai gambar profil oleh pemilik telefon tidak bertanggungjawab.

Beliau turut menafikan nombor telefon yang tersebar itu merupakan miliknya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN