‘Saya cukup berhemah, berhati-hati, tidak gopoh isu Ibu Yati’ - Zulkifli - Utusan Malaysia

‘Saya cukup berhemah, berhati-hati, tidak gopoh isu Ibu Yati’ – Zulkifli

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (dua kiri) melakukan gimik penyerahan barangan misi bantuan bencana banjir kepada wakil Persatuan Anak Pahang, Fadzil Che Lah (tiga kanan) pada program YADIM Peduli : Musaadah PKP 2.0 kepada petugas barisan hadapan dan misi bantuan pasca banjir di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan beliau ada mekanisme dalam penentuan sesuatu ajaran sesat.

Justeru, beliau tidak mahu dianggap terlalu gopoh hanya kerana tiada cukup maklumat berhubung kedudukan isu Agama Melayu yang dibawa oleh seorang wanita dikenali Ibu Yati.

“Saya sebenarnya cukup berhemah dan amat berhati-hati kerana dalam hal sebegini, saya ambil pandangan Imam Malik selagi mana boleh takwil (tafsir), biarlah yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Misi Bantuan Pasca Banjir Musa’adah Covid-19 oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan. Bantuan kali ini diagihkan kepada petugas barisan hadapan, sebuah sekolah di Puchong, Selangor dan mangsa banjir Pahang.

Minggu lalu, umat Islam gempar dengan video tular memaparkan ritual pelik Agama Melayu yang didakwa disebarkan oleh Ibu Yati atau nama sebenarnya Wan Noor Hayati Wan Alias.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada mekanisme teliti termasuk dengan melihat pandangan daripada pihak berkuasa agama di negeri terbabit.

“Ia bidang kuasa negeri, namun, pada masa sama Jakim ada saluran untuk bincang dan rumus supaya sebarang keputusan yang diambil adalah tepat serta tidak dianggap gopoh,” tegasnya.

Beliau menambah, pihak muzakarah fatwa kebangsaan sejak sekian lama juga sering bersidang bagi menilai sesuatu ajaran sebelum diuar-uarkan kepada umum.

Menyentuh mengenai program bantuan Musa’adah Covid-19 yang diselaraskan pihak Jakim dengan pelbagai agensi di bawahnya, beliau berkata, sumbangan tetap diteruskan tahun ini.

Ini sejajar misi inisiatif itu diwujudkan pada tahun lalu bagi membantu rakyat yang terkesan teruk dengan isu wabak tersebut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).    

“Untuk tahun lepas, bantuan berjumlah RM370 juta diagihkan ke seluruh Malaysia bahkan Wilayah Persekutuan sahaja, nilai sumbangan lebih RM600 juta sudah diberikan,” katanya.

Masyarakat juga masih lagi boleh memberikan sumbangan dan setiap bantuan akan disiarkan melalui platform media sosial rasmi Jakim atau agensi yang terlibat untuk rujukan awam. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN