Sarang burung, produk telur dirampas Maqis Johor - Utusan Malaysia

Sarang burung, produk telur dirampas Maqis Johor

PRODUK telur dari Denmark tanpa sijil kesihatan dari negara asal dirampas Maqis Johor dalam pemeriksaan di laluan kargo import Bangunan Sultan Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Cubaan membawa keluar sarang burung walit seberat 2.4 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM13,200 tanpa permit eksport sah ke Singapura berjaya digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A. Rahman berkata, sarang burung walit itu ditemukan ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membawa pokok sarang burung di laluan eksport pukul 8.30 malam. 

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis menemukan sarang burung walit yang diletakkan di dalam dua kotak, barangan itu ditahan untuk tindakan lanjut sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nur Afifah berkata, pemandu lori berusia 35 tahun yang membawa muatan tersebut dilepaskan setelah diambil keterangan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Maqis turut berjaya mematahkan cubaan membawa masuk produk telur seberat 100kg yang bernilai RM3,386 di laluan kargo import Bangunan Sultan Iskandar (BSI), kelmarin. 

Beliau berkata, rampasan produk egg yolk powder yang dipercayai dari Denmark itu dibuat kira-kira pukul 8.30 malam hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan.

“Kesemua barang dagangan tersebut ditahan kerana tidak mematuhi syarat import iaitu gagal mengemukakan sijil kesihatan dari negara asal sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan,” katanya.

Pemandu lori berusia 28 tahun turut dilepaskan selepas diambil keterangan berhubung rampasan terbabit.

Bagi kes pertama, Nur Afifah berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jelasnya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala dalam kes produk telur, siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1) akta sama kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya