Sanggupkah ambil risiko Melayu hilang kuasa ? - Utusan Malaysia

Sanggupkah ambil risiko Melayu hilang kuasa ?

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoal UMNO adakah sanggup mengambil risiko yang boleh mengakibatkan Melayu hilang kuasa sekali lagi semata-mata mahu bertanding semua kerusi yang boleh menyebabkan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jika tidak mahu situasi seperti itu berlaku adalah sebaik-baiknya mereka duduk bersama di dalam gabungan dengan mengenepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Katanya, persefahaman dan agenda perpaduan sesama parti di dalam gabungan mesti diwujudkan dan parti berkenaan jelas dengan pendirian tersebut sejak daripada awal iaitu ketika pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

“Agenda perpaduan perlu diteruskan dan amat penting untuk kita mengekalkannya. Saya berharap apa jua perbezaan pandangan selesaikan di meja rundingan supaya dalam PRU-15 kita dapat duduk dalam satu platform, bendera atau tiket yang sama.

“Jika tidak boleh bersama sekali pun (di dalam PN), paling tidak ada rundingan supaya tidak berlaku pertembungan tiga penjuru (dalam PRU-15). Seboleh-bolehnya yang bertanding nanti satu bendera, satu logo sahaja dan kalau semua boleh bersama di dalam PN itu adalah yang terbaik.

“Kalau lihat sekarang dalam mana-mana kajian, kalau berlaku tiga penjuru akan menyebabkan kita atau dua-dua kalah dan yang akan menang musuh politik kita Pakatan Harapan (PH). Di peringkat PN, kita jelas tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya dalam sesi sembang santai secara langsung di Facebook bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim di sini malam tadi.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Majlis Tertinggi (MT) UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

Keputusan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada UMNO mampu menang jika bertanding sendiri tanpa gabungan daripada parti Melayu lain seperti Bersatu pada pilihan raya tersebut.

Pas pula dikatakan meletakkan syarat supaya menerima Bersatu sekiranya UMNO ingin bergabung dengan parti Islam itu.

Dengan keputusan MT UMNO yang hanya perlu diluluskan dalam Perhimpunan Agungnya nanti, ia menunjukkan pertembungan melebihi dua penjuru mungkin berlaku sekali gus meletakkan UMNO dalam risiko.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, pengalaman 22 bulan kerajaan PH memerintah sudah cukup memeritkan dan adakah mahu situasi tersebut berulang.

Katanya, adakah mana-mana parti mahu mencipta rekod dengan menjadi penyebab PH menang sekali lagi dalam PRU-15 sekali gus menjadi punca kuasa politik Melayu hilang.

“Kita letak kepentingan agama, bangsa lebih tinggi daripada segala-galanya. Ketepikan semangat kepartian yang membuak-buak di dalam hati sekarang dan duduk di meja rundingan supaya PRU-15 kita duduk dalam satu kapal dan pasukan yang sama,” katanya.

Katanya lagi, kesemua parti di dalam gabungan perlu mencari titik persamaan dan berhenti menyerang sesama sendiri sehingga lupa musuh yang sepatutnya ditentang.

Sementara itu, Wan Saiful memberitahu, dakwaan bahawa Bersatu menarik ahli UMNO menyertai parti itu adalah tidak benar sama sekali dan tidak pernah dibincangkan.

“Mana-mana ahli atau pemimpin keluar parti itu adalah proses biasa dan kita perlu tanya diri sendiri mengapa mereka keluar pergi ke parti lain. Begitu juga kalau ahli kita keluar parti, kita tidak pernah tanya,” katanya sambil berharap semua parti di dalam gabungan tidak lagi memandang ke belakang dan mencari sebab bergaduh sesama sendiri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya