PUTRAJAYA: Buat julung kalinya, program tahunan Sambutan Rumah Terbuka Malaysia untuk perayaan Tahun Baharu Cina 2021 bakal berlangsung dalam suasana norma baharu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, acara itu akan dibuat secara maya menerusi platform media sosial Facebook rasmi kementerian, MyMOTAC.
“Program ini juga disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM bermula pukul 9 malam pada Sabtu ini untuk dapat disaksikan oleh rakyat kita di seluruh negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar pengumuman sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2021 anjuran kementerian itu secara maya di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Noor Zari Hamat. Sambutan khas tersebut sudah dilaksanakan sejak 2016 meliputi semua perayaan utama di negara ini.
Tahun lalu, acara berkenaan meriah diadakan di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang dengan dihadiri ramai pemimpin utama kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu.
Namun untuk sambutan kali ini dalam norma baharu, acara dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mewakili kaum Cina.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, pelaksanaan secara maya kali ini sejajar amalan semasa norma baharu ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak berbahaya Covid-19.
“Penonton akan disajikan kompilasi video penganjuran sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina sejak kali pertama dibuat pada 2016 sehingga tahun lepas,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan persembahan Tarian Selamat Datang dan Tarian Kipas oleh kumpulan Artistari Istana Budaya Kuala Lumpur dan nyanyian daripada artis jemputan.
Antaranya Masya Masyitah yang berbangsa Melayu berbakat lagu Cina serta pernah menjuarai Ceria Popstar 2014 dan Yippi Star Quest 2020 menewaskan 3,000 peserta seluruh Asia.
Juga ujarnya, segmen ucapan tokoh Cina tempatan terkenal seperti aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye; bekas jaguh bola sepak, Datuk Soh Chin Aun dan sasterawan, Prof. Lim Swee Tin.
Tidak ketinggalan jelas beliau ialah ucapan daripada tokoh wayang kulit Cina Kelantan ternama, Eyo Hock Seng dan Raja Taman Tema Hiburan Keluarga Malaysia, Tan Sri Richard CK Ko.
“Kami berharap sambutan kali ini dapat jadi acara tahunan yang berjaya menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum untuk lebih terbuka dan saling hormat-menghormati,” kata Nancy.
Beliau turut menaruh keyakinan tinggi program dianjurkan itu mampu memperkasakan lagi aspek warisan seni dan budaya negara ini untuk lebih dihayati rakyat sepanjang masa. -UTUSAN ONLINE