Saluran pernafasan Aafiyah hanya sebesar jarum - Utusan Malaysia

Saluran pernafasan Aafiyah hanya sebesar jarum

SITI Nor Saleha memangku bayinya Syareefa Aafiyah yang menghidap Sindrom Crouzon iaitu penyakit jarang ditemui sambil diperhati oleh Mohd. Sufian ketika ditemui pemberita di Seremban, semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketika hamil, kandungan Siti Nor Saleha Shamsul Bahrin, 35, disahkan normal, namun, dugaan untuk ibu ini apabila bayinya disahkan menghidap sindrom Crouzon iaitu kecacatan bentuk tulang tengkorak serta saluran pernafasan sempit selepas dilahirkan. 

Menurut Siti Nor Saleha, bayinya berusia dua bulan yang diberi nama Syareefa Aafiyah Mohd. Sufian menghidap penyakit tersebut yang jarang ditemui terutama di negara Asia. 

“Berdasarkan maklumat daripada pihak doktor, dalam 2,000 kehamilan akan berlaku satu kes seperti Aafiyah, namun, di Malaysia memang ia jarang berlaku. 

“Saluran pernafasan Aafiyah juga sangat sempit hanya sebesar jarum menyebabkan dia perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan bahagian leher Aafiyah telah ditebuk untuk memasukkan tiub ‘Tracheostomy’ ke dalam saluran pernafasan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah abangnya di Taman Seremban Tiga di sini semalam 

Mereka sekeluarga kini tinggal sementara di rumah abangnya disebabkan rumah mereka di Mambau terjejas ekoran banjir sebelum ini dan dalam pengubahsuaian bilik untuk Aafiyah. 

Lebih menyedihkan, bayi comel yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik itu menangis tanpa suara sebaliknya hanya air mata yang keluar disebabkan tiub yang disambungkan. 

“Aafiyah perlukan ruang yang luas untuk memudahkan dia bernafas dan saya dan ayahnya, Mohd. Sufian Sulaiman, 35, perlu sentiasa peka dengan keadaan Aafiyah. 

“Jika Aafiyah menangis keluar suara bermakna ada ‘blocking” di bahagian tiub saluran pernafasan dan Aafiyah rasa tidak selesa,” katanya yang merupakan seorang suri rumah. 

Jelas Siti Nor Saleha, selepas dilahirkan dan mengalami masalah pernafasan, Aafiyah telah mendapatkan rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan keseluruhan kos rawatan dan pembedahan yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM18,919. 

Beliau berkata, kos tersebut agak tinggi kerana kini mereka sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan Mohd. Sufian Sulaiman yang bekerja di Syarikat Air Negeri Sembilan Berhad (SAINS) selain mempunyai tiga anak berusia lima hingga 11 tahun yang bersekolah. 

“Alhamdulillah rezeki Aafiyah, ramai pihak yang hadir menghulurkan bantuan dan sebelum ini saya ada berkongsi di media sosial supaya orang ramai dapat mendoakan kesihatan anak saya, saya yakin ada doa yang akan diangkat oleh Allah. 

“Pihak Baitulmal telah menyumbang RM10,000 untuk membayar kos hospital dan bakinya kini RM8,919 yang perlu dibayar dalam tempoh tertentu,” katanya.

Siti Nor Saleha juga memberitahu, suaminya telah membuat permohonan untuk mengeluarkan duit daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) namun tidak berjaya atas alasan penyakit bayinya jarang ditemui. 

Selain itu, katanya, dia juga memerlukan kos untuk membeli alat tiub ‘Tracheostomy’ untuk Aafiyah yang berharga RM290 seunit yang perlu ditukar sekurang-kurangnya tiga kali seminggu tetapi kos tersebut terlalu tinggi.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Siti Nor Saleha di talian 013-3070182 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun bank CIMB 7025890824 atas nama Siti Nor Saleha Shamsul Bahrin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya