Rumah ibadat bukan Islam patuh SOP semasa perayaan - Utusan Malaysia

Rumah ibadat bukan Islam patuh SOP semasa perayaan

DR. CHONG FAT FULL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sejumlah 285 buah rumah ibadat bukan Islam (RIBI) yang dipantau sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan upacara Amavasai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Chong Fat Full berkata, operasi pemantauan itu dijalankan pihak berkuasa pada 11 dan 12 Februari lalu.

Menurutnya, pemeriksaan dibuat Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Negeri (JPNIN) Johor dengan kerjasama polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan upacara Amavasai baru-baru ini, pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan terhadap 285 RIBI yang dibenarkan beroperasi pada 11 dan 12 Februari lalu.

“Pemeriksaan mendapati kesemua RIBI berkenaan beroperasi dengan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, sejumlah 144 RIBI lain tidak dibenarkan beroperasi bagi perayaan Tahun Baharu Cina dan upacara Amavasai.

Pada masa sama kata Fat Full, pembukaan semula RIBI juga dibenarkan bermula 13 Februari namun operasinya perlu mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antara peraturan itu termasuklah jumlah orang dihadkan tidak melebihi 30 individu, pelaksanaan kerja sanitasi selama 30 minit sebelum dan selepas upacara keagamaan dan penggunaan aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu saya mengingatkan kepada semua penganut supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta membudayakan norma baharu bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN