Rujuk mufti untuk tahu status ajaran sesat - Utusan Malaysia

Rujuk mufti untuk tahu status ajaran sesat

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (lima dari kiri) bergambar sebelum merasmikan pelepasan konvoi misi bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta umat Islam segera merujuk mufti jika ingin tahu status amalan atau ajaran tertentu.

 Ini ujar beliau bagi mengelakkan kesatuan masyarakat Muslim daripada berpecah-belah dan bertelingkah hanya kerana perbezaan pandangan mengenai sesuatu fahaman diragui.

“Sebaik-baiknya, biarlah diambil hukum mengenai isu tertentu terus daripada pihak berautoriti dan dalam hal ini, pejabat mufti atau jabatan mufti sendiri di setiap negeri yang terlibat.

“Pada kelazimannya, pandangan dikemukakan mufti akan disokong penuh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan pihak jabatan agama Islam negeri berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan pelepasan konvoi misi bantuan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon bersama-sama 12 sukarelawan bagi pengagihan bantuan yang bernilai RM1 juta di Kelantan dan Terengganu.

Zulkifli mengulas kelewatan negeri-negeri tertentu dalam mengeluarkan fatwa berhubung ajaran sesat dan terbaharu Agama Melayu sehingga menimbulkan keresahan umat Islam.

Ketiadaan kenyataan langsung daripada pihak berkuasa agama negeri terbabit menyebabkan ramai terpengaruh atas alasan belum difatwakan sebagai amalan songsang secara rasmi.

Semalam, Ibu Yati atau nama sebenar Wan Norhayati Wan Alias yang didakwa menyebar Agama Melayu tampil memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam.

Bekas wartawan wanita itu bagaimanapun menafikan amalan tersebut sebagai ajaran sesat dan mendakwa tiada mana-mana negeri pun mewartakan fatwa mengenai fahaman berkenaan.

“Sebenarnya, apabila hanya mufti sahaja bercakap, maka nampak pandangan lebih terarah dan tersusun selain diyakini sahih… Keadaan inilah yang kita (Jakim) hendak,” tegas Zulkifli.  

Namun, beliau tidak menafikan setiap individu yang berautoriti dalam mengeluarkan hukum agama turut mempunyai kelemahan tertentu tetapi isu kecil itu tidak sepatutnya diperbesarkan.

Sebaliknya tambah beliau, umat Islam wajar menjadikan segala pandangan mufti sebagai sumber rujukan untuk lebih selamat dan bukannya membuat fatwa sendiri yang mengelirukan.

“Saya begitu berkeyakinan, apa-apa sahaja isu timbul sebenarnya boleh tanya terus kepada mufti terutama soal hukum-hakam yang ada banyak khilaf (perbezaan pandangan ulama).

“Kami (Jakim) pun ada kemuka banyak jawapan berkaitan hukum semasa yang dibukukan dan boleh dirujuk menerusi laman sesawang pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN