RMK-12 perlu dirangka dan dibentang di Parlimen - Utusan Malaysia

RMK-12 perlu dirangka dan dibentang di Parlimen

HASSAN KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu digubal dan dirangka dengan teliti sebelum dibentangkan di Parlimen kerana pelaksanaannya akan bermula tahun ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya bimbang dengan persediaan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif berkenaan.

Menurut beliau, RMK-12 merupakan rancangan pembangunan yang penting dan perlu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan.

“Dalam keadaan Parlimen sekarang digantung bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengorbankan rancangan pembangunan lima tahun RMK-12.

“Perlu disebut bahawa kerajaan darurat yang menggantung Parlimen tidak ada mandat untuk meluluskan RMK-12,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hassan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil kesempatan ini dengan merangka serta membangunkan dasar RMK-12 bagi memberi harapan kepada 32 juta rakyat Malaysia kerana kerajaan PN dilihat gagal berbuat demikian.

Menurutnya, dapat dilihat dalam media sosial ketika ini netizen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN yang disifatkan ‘syok sendiri’ dan goyang kaki.

“PH mesti bersiap sedia dengan menggembleng tenaga pakar ekonomi bagi merangka dasar bayangan RMK-12. Isu ekonomi adalah isu penting melibatkan semua kaum di negara kita sekarang ini.

“Bagaimana peluang pekerjaan baharu dihasilkan bagi mengatasi masalah pengangguran lebih sejuta rakyat. Ini bukan mudah. Perlu dibentuk majlis pemikir dalam bidang sosio-ekonomi untuk memberi imput dan nasihat,” ujarnya.

Beliau berkata, perkara itu termasuk bagaimana untuk memulihkan harga komoditi utama negara, mengurangkan kadar kemiskinan, merapatkan jurang kaya miskin dan jurang kemajuan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN