RM70.5 juta naik taraf RSK Johor Bahru - Utusan Malaysia

RM70.5 juta naik taraf RSK Johor Bahru

ZAITON Ismail menyampaikan cenderahati kepada penghuni RSK Johor Bahru yang berpindah ke RSK Seremban di Kampung Ungku Mohsin, Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan memperuntukkan RM70.5 juta bagi menaik taraf dan membina semula Rumah Seri Kenangan (RSK) Johor Bahru, di sini di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, projek menaik taraf dan membina semula itu dijangka bermula Jun depan dan akan siap pada 2024.

Katanya, RSK serba canggih itu akan dilengkapi dengan klinik kesihatan khas untuk penghuni serta sistem komunikasi dan pemantauan di setiap asrama penghuni bagi memudahkan pemantauan dibuat khususnya melibatkan warga emas yang uzur.

“Pelaksanaan projek menaik taraf dan membina semula RSK ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada penghuni dengan kemudahan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program perpindahan penghuni di RSK Johor Bahru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohamad Hapil.

Dalam pada itu, seramai 25 penghuni RSK Johor Bahru akan dipindahkan ke RSK Seremban dengan diiringi 10 kakitangan membabitkan pengangkutan iaitu sebuah bas dan sebuah van.

Zaiton berkata, JKM dalam proses mengosongkan RSK dengan memindahkan seramai 217 penghuni ke enam institusi JKM yang lain secara berperingkat bagi membolehkan pelaksanaan projek itu.

Katanya, pemindahan tersebut melibatkan Institusi JKM di Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. 

“Urusan perpindahan sudah bermula sejak 28 Disember tahun lalu melibatkan 25 penghuni ditempatkan ke RSK Cheng, Melaka disusuli dengan penempatan berfasa ke lokasi lain seperti Kompleks Penyayang Bakti Sungai Buloh dan Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu di Selangor,” katanya.

Rumah Seri Kenangan Johor Bahru ditubuhkan pada 1950 sebelum dipindahkan ke tapak khusus yang terletak di Jalan Ithin, Kampung Ungku Mohsin, di sini, dengan keluasan 13.5 hektar. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya