JOHOR BAHRU: Tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung ketirisan kutipan cukai jalan mencecah RM3.1 juta.
Kakitangan JPJ negeri yang ditahan pada pukul 11 pagi hingga 1 petang itu melibatkan lima lelaki dan dua wanita yang berusia 27 hingga 42 tahun.
Menurut sumber, kesemua kakitangan yang ditahan tersebut bertugas di JPJ Johor dan dipercayai memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.
“Jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber di sini semalam.
Menurutnya, kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Isu paling kerap berlaku adalah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama-sama SPRM Johor mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurut Azam, kesemua tahanan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi direman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan itu bermula hasil makluman dan kerjasama Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.
“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan rasuah berulang.
“Perkara ini telah dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru mana-mana pihak atau agensi untuk memberi maklumat kepada SPRM seperti yang dilakukan pihak Ketua Pengarah JPJ.
Azam juga menyeru masyarakat yang berurusan di kaunter-kaunter jabatan untuk ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit-resit selepas melakukan urusan di kaunter atau pun dengan ejen-ejen yang dilantik.