RM2.9 juta untuk rakyat Kelantan terkesan PKP - MB

RM2.9 juta untuk rakyat Kelantan terkesan PKP – MB

AHMAD YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengumumkan Pakej Bantuan Khas Berkala berjumlah RM2.9 juta bagi membantu rakyat yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akibat penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pakej tersebut terbahagi kepada dua bentuk bantuan dan akan diagihkan kepada mereka yang layak menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (PKD) di seluruh negeri.

Menurutnya, bentuk bantuan itu adalah Bantuan Keperluan Asas Makanan serta Insentif Tunai Peniaga Kecil dan Penjaja Kecil.

“Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan di bawah Bantuan Keperluan Asas Makanan yang akan diagihkan kepada semua 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setiap kawasan DUN akan menerima peruntukkan berjumlah RM40,000,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebok beliau, di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, bagi Bantuan Keperluan Asas Makanan serta Insentif Tunai Peniaga Kecil dan Penjaja Kecil,  pihaknya memperuntukkan sebanyak RM25,000 kepada setiap kawasan DUN untuk tujuan itu.

Katanya, inisiatif itu memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban rakyat yang terjejas dengan PKP ketika musim penularan Covid-19 ini.

“Kita sentiasa memantau rapi perkembangan dan kesan penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri Kelantan yang sehingga kini belum bebas sepenuhnya daripada wabak Covid-19.

“Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri mengambil pelbagai usaha dan langkah proaktif secara bersepadu untuk membendung penularan pandemik itu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP disambung untuk tempoh dua minggu lagi iaitu bermula 5 Februari hingga 18 Februari depan di seluruh negara, kecuali Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN