SEREMBAN: Hasrat pekerja syarikat foodpanda untuk mendirikan rumah tangga sebelum perayaan Aidilfitri ini tidak kesampaian apabila terkorban dalam dalam kemalangan di Taman AST, dekat sini kelmarin.
Allahyarham Muhamad Azman Abdul Aziz, 30, dikatakan bekerja separuh masa sebagai penghantar makanan demi mengumpul wang sebagai persediaan perkahwinannya.
Tunang Allahyarham, Nurul Aishah Zainal Abidin, 31, berkata, kali terakhir dia berjumpa Muhamad Azman yang bekerja sepenuh masa sebagai pekerja penghantaran MyEG adalah ketika makan tengah hari pada hari kejadian.
“Saya sempat makan tengah hari semalam bersama arwah, dia tidak tunjukkan sebarang petanda walaupun dia sering memohon maaf setiap kali berjumpa dengan saya, namun, arwah sempat berikan kepada saya satu sampul wang bernilai RM500 semalam dan menyuruh saya menggunakan duit itu untuk kecemasan.
“Dia bekerja separuh masa kerana mahu mengumpul duit untuk berkahwin dengan saya sebelum Aidilfitri tahun ini. Sebelum kejadian, arwah ada menghantar mesej menerusi WhatsApp pada pukul 7.30 malam dan memberitahu dia rindu, pada pukul 8.30 malam pula, saya dimaklumkan dia meninggal dunia akibat kemalangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 malam kelmarin di simpang tiga, Jalan AST 6 dekat sini, Muhamad Azman, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang warga emas berusia 64 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, Allahyarham mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Berdasarkan siasatan, mangsa menaiki motosikal Yamaha Y15ZR dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Taman AST menuju ke arah bandar Seremban dan pabila tiba di tempat kejadian, datang kereta jenis Hyundai Atos dari arah bertentangan yang dipandu warga emas yang sedang membelok namun hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan mangsa serta melanggar mangsa di bahagian hadapan.
Sementara itu, Nurul Aishah memberitahu ketika kejadian dia sempat ke lokasi kejadian dan menghidu bau minyak atar di badan mangsa.
“Arwah tidak pernah memakai minyak atar, ketika saya sampai di lokasi kemalangan orang awam telah menutup arwah dengan kain putih dan badannya berbau minyak atar.
“Seorang saksi kejadian memaklumkan kepada saya dia sempat mengajar arwah mengucap kalimah syahadah sebelum meninggal dunia. Walaupun sedih, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut memberitahu telah merancang untuk mengikuti kursus perkahwinan bersama Allahyarham dalam masa terdekat.
Jenazah Muhamad Azman dikebumikan di kampung keluarganya di Seri Menanti, Kuala Pilah. -UTUSAN ONLINE