BENTONG: Seorang lelaki warga asing ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila cuba memberi rasuah kepada polis bagi mendapatkan kebenaran merentas negeri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi semalam itu, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan cuba memberi sogokan RM200 kepada anggota polis di Balai Polis Bukit Tinggi di sini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, warga asing berkenaan datang ke Balai Polis Bukit Tinggi untuk mendapatkan permit merentas negeri dari Bukit Tinggi ke Kuala Lumpur.
“Selepas meneliti dokumen sokongan yang dikemukakannya, permohonan lelaki itu ditolak.
“Bagaimanapun lelaki berusia 28 tahun itu memberi wang sogokan RM200 kepada anggota polis iaitu Sarjan Mejar Maznan Omar, Koperal Suhaimi Abdul Rahim Koperal Dully Dampa dan Lans Koperal Muhamad Syafik Muhamaf Saari untuk meluluskan permohonannya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Zaiham, susulan tindakan cuba memberi rasuah kepada polis suspek ditahan dan diserahkan kepada SPRM Raub untuk tindakan lanjut.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa polis sentiasa bertegas dan tidak teragak-agak menahan mana-mana individu yang cuba memberi rasuah dan suapan kepada anggotanya.
“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak menawarkan atau memberi rasuah yang boleh merosakkan agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – UTUSAN