Rayuan Najib didengar selama 12 hari bermula 5 April - Utusan Malaysia

Rayuan Najib didengar selama 12 hari bermula 5 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd., akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 5 April ini. 

Pendengaran rayuan itu ditetapkan selama 12 hari iaitu pada 5-8 April, 12-15 April dan 19-22 April manakala rekod rayuan pindaan akan diterima oleh kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan pada 8 Februari ini.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis pada 1 Mac ini dan membalasnya pada 19 Mac manakala tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 22 Februari.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memberitahu pihak media, tarikh-tarikh tersebut ditetapkan hari ini ketika sesi pengurusan kes melalui aplikasi Zoom di hadapkan Timbalan-Timbalan Pendaftar Darmafikri Abu Adam dan N. Kanageswari.  

Najib diwakili oleh peguam-peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Nur Syahirah Hanapiah.

Rayuan bekas Perdana Menteri itu yang sepatutnya didengar pada 15 Februari ini, diganti dengan tarikh baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan baru-baru ini.

Pada 30 Julai tahun lalu, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 19 Oktober tahun lalu, Najib mengemukakan 307 alasan bagi menyokong rayuan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mendapatinya bersalah dalam kes penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta.

Antara alasan yang dikemukakan, hakim bicara terkhilaf apabila gagal memberi pertimbangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah dalang sebenar dalam kes yang dihadapinya.

Dua hari sebelum itu, ahli Parlimen Pekan tersebut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Najib kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

Najib disabitkan terhadap tiga tuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM42 juta milik SRC International antara Disember 2014 dan Mac 2015 di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan di sini.

Beliau juga didapati bersalah melakukan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Beliau juga didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta hasil aktiviti haram melalui sistem yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dan didepositkan ke dalam akaun peribadi miliknya di AmIslamic Bank Berhad. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN