GEORGETOWN: Pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) berusia 43 tahun direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung rasuah bulanan untuk membocorkan maklumat berhubung sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.
Turut direman selama dua hari ialah seorang lagi anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 40 tahun dan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berusia 36 tahun.
Sementara itu, ahli perniagaan berusia 29 tahun pula direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes sama.
Perintah tahanan reman terhadap keempat-empat suspek itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md. Eusoff di sini pagi ini.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.30 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diiringi pegawai SPRM.
Difahamkan, keseluruhan nilai rasuah melibatkan kesemua suspek itu berjumlah RM500,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE