Ramai pemimpin UMNO bergerak tanpa kewangan - Shahrir - Utusan Malaysia

Ramai pemimpin UMNO bergerak tanpa kewangan – Shahrir

MAHATHIR
SHAHRIR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Masih ramai pemimpin UMNO bergerak tanpa kewangan dan hanya berbekalkan dengan semangat perjuangan serta sokongan akar umbi bagi memastikan parti itu dan Barisan Nasional (BN) kembali sebagai pilihan rakyat untuk menerajui negara.

Demikian ditegaskan Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung kenyataan veteran politik, Tun Daim Zainuddin bahawa UMNO sukar untuk menang pilihan raya disebabkan parti itu sarat dengan ‘warlord’ atau panglima perang.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, sesiapa yang menjadi ‘warlord’ sudah semestinya mempunyai kewangan yang kukuh atau paling tidak memiliki dana yang boleh membiayai penyokong-penyokong tetap dan tegar.

“Tertanya juga siapa ‘warlord’ dalam UMNO? Nak jadi ‘warlord’ kot (macam) mana, mestilah berduit. Kalau tak sama kaya seperti Tun Daim hendaklah mempunyai dana yang boleh membiayai penyokong-penyokong tetap dan tegar dan kegiatan yang memperlihat kehadiran diri sendiri sebagai tokoh di kawasan sendiri.

“(Perlukan) Duit semuanya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sebagai parti (UMNO) yang telah kalah dan duduk tepi dalam kerajaan orang lain, bukan kita punya,” katanya menerusi catatan di Facebok rasmi beliau, di sini hari ini.

Daim dalam wawancara bersama sebuah portal dilaporkan berkata, UMNO tidak mampu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika diadakan sekarang kerana parti itu yang sarat dengan ‘warlord’ merasakan mereka masih memimpin negara sehinggakan tidak lagi menjadi tarikan kepada majoriti rakyat di negara ini.

Shahrir berkata, meskipun mengetahui hakikat sebenar, bekas Menteri Kewangan itu tetap mahu menghidupkan naratif bahawa UMNO memiliki ramai ‘warlord’ dan kononnya itu penyakit dalaman parti berkenaan.

“Memang ada masalah dalaman bagi UMNO. Itu tidak dinafikan. Tapi ramai mana yang ‘warlord’ dan ikut cakap Tun Daim, bersikap ‘delusional’, iaitu tidak terima realiti atau masih berlagak macam UMNO masih pemerintah.

“Masalah dalaman pun kerana adanya pemimpin yang mengumpul ‘geng’ dan yang diterima sebagai ‘geng’ pun yang sependapat dan menyokong (serta) ditaja untuk agenda sendiri. Sampai sanggup sokong secara terbuka Tun Dr. Mahathir (Mohamad) sehingga akhir hayat Parlimen Ke-14,” katanya.

Ujar beliau, UMNO sudah menerima realiti bahawa mereka bukan parti pemerintah tetapi tetap mempunyai kekuatan berasaskan kepada kepimpinan yang berpengalaman, kebijaksanaan pendekatan dan kekuatan akar umbi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya