Raja Muda Perlis seru rakyat sokong program imuninasi Covid-19 - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis seru rakyat sokong program imuninasi Covid-19

TUANKU Syed Faizuddin (tengah) menyempurnakan pemasyhuran nama baharu Masjid Kampung Perawah Tok Kayaman sebagai Masjid Ali bin Abi Talib, Padang Besar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin Covid-19.

Sebaliknya, Tuanku Syed Faizuddin mengajak seluruh rakyat khususnya di negeri ini supaya menyokong dan menjayakan program imuninasi Covid-19. 

“Jangan sesekali terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat mengenai vaksin. Sebarang masalah atau keraguan, rujuklah kepada Jabatan Kesihatan negeri.

 “Insha-Allah, semoga segala ikhtiar dan usaha akan diberkati dan kita bertawakal kepada Allah SWT supaya kita semua dilindungi daripada penyakit Covid-19 dan negeri Perlis akan kekal terpelihara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan pemasyhuran nama baharu Masjid Kampung Perawah Tok Kayaman sebagai Masjid Ali bin Abi Talib di sini hari ini.

Watikah pemasyhuran berkenaan diserahkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan kepada Pengerusi Jawatankuasa kariah masjid tersebut, Mardzuki Mahmood.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan rasa syukur melihat vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech telah tiba di negara ini termasuk di Perlis dan seterusnya program imunisasi Covid-19 peringkat negeri ini akan bermula pada 1 Mac ini.

“Ini merupakan satu langkah pencegahan melawan penularan Covid-19  yang tepat kerana suntikan vaksin Covid-19 akan memberi perlindungan kepada rakyat Perlis daripada jangkitan Covid-19. 

“Bagaimanapun, langkah pencegahan dan kawalan kesihatan awam mesti diteruskan dengan mengamalkan norma baharu dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP),” titah baginda.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sebelum ini memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN