Rahmat kaunter bantuan pandu lalu - Utusan Malaysia

Rahmat kaunter bantuan pandu lalu

Muhammad Abdul Munib Zakaria memberi bantuan makanan asas kepada seorang penerima di Kaunter Bantuan Pandu Lalu Pengkalan Chepa di Kota Bharu di sini, semalam. – utusan/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, di sini mengambil inisiatif mewujudkan kaunter bantuan secara pandu lalu sejak Ahad lalu bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bagi golongan yang benar-benar terhimpit, kewujudan kaunter itu ibarat satu rahmat dan ini terbukti apabila kegembiraan serta kelegaan jelas terpancar pada raut wajah mereka ketika singgah untuk mendapatkan bantuan yang berupa bakul makanan.

Sejak diperkenalkan, dianggarkan kira-kira 150 bakul makanan bernilai RM50 setiap satu berjaya diagihkan kepada penerima setiap hari.

Penyelaras program itu, Mohd. Abdul Munib Zakaria berkata, kaunter bantuan pandu lalu Parlimen Pengkalan Chepa dibuka setiap hari sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, bermula pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Penerima yang singgah mengambil bakul merupakan golongan memerlukan dan terjejas selepas pelaksanaan PKP. Ini termasuklah mereka yang hilang pekerjaan ketika dalam tempoh tersebut.

“Sebelum singgah untuk mengambil bakul makanan ini, penerima perlu mengemukakan kupon yang boleh didapati melalui penghulu mukim masing-masing,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kaunter tersebut semalam.

Mohd. Abdul Munib merupakan Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Sementara itu, seorang penerima, Laila Hussin, 40, dari Kampung Sabak berkata, inisiatif semua pihak yang terlibat mengagihkan bantuan bakul makanan itu amat dihargai golongan memerlukan sepertinya.

“Bagi orang lain, sumbangan ini mungkin kecil sahaja, tetapi bagi kami amat besar maknanya.

“Suami saya seorang buruh yang diberhentikan kerja ketika PKP. Keluarga kami sekarang bergelut untuk hidup selepas hilang punca pendapatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya