PWP santuni petugas barisan hadapan - Utusan Malaysia

PWP santuni petugas barisan hadapan

SURINA Saad (tengah) bergambar bersama anggota keselamatan dan ahli PWP pada program sumbangan bungkusan makanan kepada anggota keselamatan anjuran PWP di Sekatan Jalan Raja (SJR) Ulu Pauh, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Sebagai tanda sokongan dan penghargaan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan keselamatan, Persatuan Wartawan Perlis (PWP) mengambil inisiatif menganjurkan program berbentuk sumbangan makanan kepada barisan hadapan itu di Sekatan Jalan Raya (SJR) sekitar negeri ini, hari ini.

Lebih istimewa, program ‘Singgah Frontliner’ tersebut turut disertai Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad yang meluangkan masa melawat beberapa lokasi SJR bersama ahli-ahli daripada persatuan wartawan negeri ini.

Antara lokasi SJR yang dilawati bagi menyampaikan sumbangan itu adalah SJR Ulu Pauh, SJR Jelempok dan SJR Sanglang.

Kira-kira 100 bungkusan makanan serta hamper sumbangan persatuan dan penaja disampaikan kepada anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di SJR terbabit.

Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatan kuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad; Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof; Presiden PWP, Mohamad Asri Shafii dan ahli-ahli PWP.

Aktiviti yang berlangsung dengan pematuhan SOP itu merupakan program pertama dianjurkan PWP yang baru ditubuhkan sejak Januari lalu.

Surina berkata, beliau amat berbesar hati menerima kunjungan PWP yang sudi menyumbangkan makanan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terpaksa bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya berbesar hati kerana program pertama yang diadakan oleh persatuan adalah melibatkan kami yang bertugas di barisan hadapan. Semoga hubungan mesra pengamal media dengan polis akan diteruskan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Roziena berkata, penubuhan PWP di negeri ini adalah satu perkembangan baik kerana banyak aktiviti dan program yang boleh dilakukan bagi mengeratkan silaturahim serta menambah nilai untuk ahli-ahlinya.

“Saya memberi sokongan dengan aktiviti yang dilakukan kerana media turut memberi impak kepada komuniti dan orang awam. 

“Wartawan mempunyai peranan dalam masyarakat dan dengan penubuhan persatuan ini ia dapat mengimarahkan lagi maklumat kepada orang ramai dengan kandungan yang lebih baik,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Asri berkata, pemberian sumbangan kepada petugas barisan hadapan di SJR dipilih menjadi program sulung persatuan kerana mahu menunjukkan penghargaan kepada mereka yang telah berkorban masa dan tenaga bagi menjaga keselamatan negara sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.

“Pengamal media juga petugas barisan hadapan tetapi tugas yang dijalankan oleh polis, tentera dan Rela yang menjaga di SJR adalah lebih berat berbanding tugas kami.

“Jadi, kami mahu menunjukkan penghargaan kepada mereka selain mahu mengeratkan hubungan silaturalim petugas barisan hadapan dengan media di negeri ini,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya