KAJANG : Satu sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan rumah mewah di kawasan Hulu Langat, di sini, sebagai pusat panggilan menjalankan aktiviti itu akhirnya terbongkar.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, sebanyak 31 individu termasuk empat wanita warga China berusia 20-an dipercayai pekerja di pusat operasi sindiket itu ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket yang aktif sejak dua bulan lalu itu mampu mengaut keuntungan bersih sehingga RM2 juta.
Kata beliau, modus operandi yang digunakan sindiket adalah menjalankan penipuan bidaan dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa.
“Hasil serbuan hari ini, kita turut merampas komputer riba dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti penipuan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, sindiket memperdaya mangsa dari China dengan menawarkan lelongan barang yang tidak wujud. Kami percaya sindiket ini didalangi seorang individu yang membolehkan mereka beroperasi di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zainuddin turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat berhubung kegiatan haram berkenaan.
“Semua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”jelasnya. -UTUSAN ONLINE