Proklamasi Darurat: Henti tohmahan tidak berasas - Utusan Malaysia

Proklamasi Darurat: Henti tohmahan tidak berasas

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.

Menurut beliau, kerajaan mendapat perkenan selepas Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Kata Perdana Menteri, Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan memberikan bidang kuasa tertentu kepada kerajaan untuk mengurus pandemik Covid-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa.

“Proklamasi Darurat Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata, walaupun ada segelintir pihak cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, beliau percaya Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara.

Sebagai Ketua Kerajaan, beliau juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan.

“Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya