Projek naik taraf LRA Bukit Selambau perlu disegerakan - Utusan Malaysia

Projek naik taraf LRA Bukit Selambau perlu disegerakan

NOR AZRINA SURIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Projek untuk menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau di sini perlu disegerakan bagi mengelak daripada gangguan bekalan air yang berterusan terutamanya ketika musim kemarau.

Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip berkata, isu air di Parlimen ini bukanlah isu baharu, sebaliknya isu lama yang masih belum diselesaikan.

Menurutnya, hampir 5,000 akaun melibatkan kira-kira 20,000 penduduk di kawasan Parlimen Merbok telah terjejas akibat gangguan bekalan air yang kerap berlaku.

Beliau berkata, projek menaik taraf LRA Bukit Selambau dari  30 juta liter sehari (mld) kepada 70 mld ini sebenarnya telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK -11)pada tahun 2016. 

“Ia juga telah melalui Makmal Value Management (VM Lab) yang dilaksanakan pada 2 hingga 5 Mei 2017 dan Makmal Value Engineering (VE Lab) yang dilaksanakan pada 10 hingga 13 April 2018.

“Kita jangka, projek ini mampu membekalkan air terawat secara mampan bagi memenuhi permintaan sehingga tahun 2040,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, projek ini yang asalnya dibiayai sepenuhnya secara pinjaman telah dipersetujui oleh Menteri Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada 3 April 2019 dalam jawapan balas sesi penggulungan untuk ditukarkan kepada ‘immediate grant’ agar kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan segera.

“Penghantaran air ke rumah-rumah kediaman menggunakan lori tangki bukanlah impian rakyat malah melelahkan pihak SADA, selain menyebabkan kerugian kerana kos yang lebih tinggi terpaksa ditanggung.

“Maka, dengan fakta-fakta yang telah saya bariskan di atas, sangat jelas bahawa sudah tiada alasan lagi untuk kita melengah-lengahkan lagi pelaksanaan projek menaiktaraf LRA Bukit Selambau,” ujarnya

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini telah membelanjakan sejumlah RM 300,000 daripada peruntukan Parlimen Merbok khusus untuk pembinaan Rumah Pam di Sungai Gelam yang mampu menampung sejumlah 30,000  gelen air bagi penyelesaian jangka sederhana. 

“Kita juga bercadang untuk memperuntukkan lagi RM500,000  daripada peruntukan Parlimen bagi pembinaan pam berperingkat di Kolam Sedutan Toh Pawang untuk meningkatkan kapasiti penghantaran air ke Kolam Inas 2, Merbok bagi kegunaan kira-kira 3,800 akaun di sini.

“Bagaimanapun cadangan terbabit tidak dapat diteruskan apabila peruntukan bagi Parlimen ini dibekukan kerana pertukaran kerajaan,”jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN