Prisma sasar bantu lebih 9,000 penggiat seni, industri kreatif - Utusan Malaysia

Prisma sasar bantu lebih 9,000 penggiat seni, industri kreatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) bagi merancakkan kembali penggiat dan pemain sektor itu.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sejumlah RM89.2 juta disediakan di bawah peruntukan sedia ada kementerian itu dengan pelaksanaan 32 program yang dibuka hari ini.

“Kita menyasarkan lebih 9,000 penggiat seni dan pemain industri kreatif tempatan bakal dapat manfaat daripada pelaksanaan Prisma,” kata beliau sebelum pelancarannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau ketika berucap mendedahkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang memaklumkan ada sejumlah 800,000 orang bekerja dalam bidang itu di seluruh negara.

Ia mewakili hampir enam peratus daripada tenaga kerja di Malaysia dan sektor industri kreatif menyumbang RM29.4 bilion atau dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 lalu.

Justeru ujar Saifuddin, Prisma diwujudkan sebagai langkah jangka pendek bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian peserta bidang itu dalam mendepani impak wabak Covid-19.

“Sebahagian besar petugas dalam sektor ini hanya bertaraf freelance atau tidak tetap, dengan tiada gaji bulanan tetapi bergantung hidup menyara keluarga jika ada kerja produksi,” katanya.

Justeru, beliau berhasrat berbincang dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memberi kelonggaran penggiat bidang kreatif untuk berkarya dalam suasana norma baharu.

Ini jelasnya, dengan melihat prosedur operasi standard (SOP) di luar negara yang sudah pun membenarkan pembukaan semula industri itu namun ada pematuhan garis panduan ketat.

Pada masa sama, Saifuddin juga melihat potensi besar sektor kreatif domestik dalam menjana sumber pendapatan baharu negara dalam jangka panjang selain komoditi dan pelancongan.

“Sehubungan itu, saya jangka Prisma mampu mewujudkan hampir 40,000 peluang pekerjaan melalui pelbagai skim meliputi filem, muzik, kandungan kreatif digital dan seni visual,” katanya.

Beliau berharap, program melibatkan pembiayaan dana dan akses pasaran itu meringankan beban penggiat bidang tersebut yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program itu ujarnya, kesemua agensi di bawah kementerian tersebut akan berganding bahu dalam menjayakan pakej baharu berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN