Praviin sediakan 'food bank' bantu golongan memerlukan - Utusan Malaysia

Praviin sediakan ‘food bank’ bantu golongan memerlukan

PRAVIIN menyusun barangan makanan keperluan harian yang disediakan secara percuma kepada golongan yang memerlukan di kedai milik keluarganya di Happy Garden, Port Dickson.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Prihatin dan mahu meringankan beban golongan memerlukan, seorang pemuda mengambil inisiatif menyediakan ‘food bank’ menggunakan wangnya sendiri.

R. Praviin, 20, berkata, dia memang suka membantu orang susah sejak berusia 15 tahun ketika dia masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad, dekat sini.

“Semasa saya di tingkatan tiga sekolah berkenaan, guru-guru dan rakan di sekolah berkenaan menjadi pemberi semangat untuk saya membantu orang susah dan golongan memerlukan. Saya juga ada mewujudkan sebuah yayasan iaitu Tomorrow Special Plan Foundation (TSP) untuk tujuan tersebut.

“Saya bermula dengan kos yang agak sedikit iaitu melalui duit saku yang diberikan oleh ibu bapa iaitu sebanyak RM20 seminggu. Saya akan menyimpan sebanyak RM15 untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Happy Garden di sini hari ini.

Praviin yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik itu menjelaskan, dia terdetik membantu rakan-rakan sekolah dan masyarakat yang memerlukan dengan menyumbangkan makanan asas seperti beras, gula, tepung, susu dan minyak ke rumah mereka.

Dia yang kini ini bekerja membantu ayahnya di kedai lelong milik keluarganya berkata, dia mampu mengeluarkan sebanyak RM300 sehari bagi memastikan dua ‘food bank’ iaitu di dua buah kedai milik keluarganya itu sentiasa mencukupi untuk golongan yang memerlukan.

“Walaupun saya akan melanjutkan pelajaran nanti, saya akan memastikan dapat meneruskan membantu golongan yang memerlukan.

“Apa yang membuatkan saya bersemangat, apabila saya meletakkan barangan keperluan, tidak sampai dua jam makanan ini habis diambil orang yang memerlukan. Saya berharap misi saya memastikan sifar orang lapar di sekitar Port Dickson tercapai satu hari nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN