TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) melaksanakan inisiatif Projek Rintis Kamera Litar Tertutup Mudah Alih atau Portable CCTV bagi memantau pembuangan sampah secara haram dan tabiat membuang sampah di luar tong.
Menurut kenyataan MPT, kamera tersebut dipasang di dua lokasi panas sejak Disember tahun lalu.
Jelasnya, dua lokasi yang menjadi projek rintis adalah di Tong Sampah Pasar Kamunting dan Taman Kota Jaya, Simpang.
Menurut kenyataan tersebut, usaha itu berjaya merakam kegiatan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di luar tong dan secara haram di kedua-dua lokasi berkenaan.
“Rakaman CCTV itu berjaya merekodkan nombor pendaftaran pemilik kenderaan yang dikesan membuang sampah di kawasan berkenaan dan pihak MPT akan membuat semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti pemilik kenderaan.
“Pada Disember lalu sebanyak 67 kompaun dikeluarkan berjumlah RM16,750 manakala 18 kompaun berjumlah RM4,500 dikeluarkan sepanjang Januari lepas,” jelas kenyataan tersebut di sini hari ini.
MPT memberitahu, penurunan pengeluaran kompaun pada dua bulan tersebut menunjukkan kaedah CCTV berkesan untuk menangani longgokan sampah haram.
Kesalahan membuang sampah haram boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan Awam (Majlis Perbandaran Taiping) 1984 (Pk.P.U.18).
Kompaun sehingga RM250 akan dikeluarkan dan jika sabit kesalahan hukuman denda RM2,000, penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.