IPOH: Seramai 620 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memantau pusat peperiksaan dan sekolah di seluruh negeri sepanjang peperiksaan awam dilaksanakan esok.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemantauan itu melibatkan penugasan rondaan oleh 100 unit kereta peronda polis (MPV) dan 200 Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengikut daerah di seluruh negeri.
Katanya, tugas pemantauan turut dilakukan oleh 200 orang pegawai merangkumi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), pasukan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dan elemen lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemantauan di 428 pusat peperiksaan dan sekolah di seluruh Perak itu meliputi penugasan waktu siang dan malam.
“Sehubungan itu, ibu bapa, penjaga dan calon peperiksaan yang terlibat tidak perlu bimbang dengan keadaan keselamatan dan ketenteraman di semua pusat peperiksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE