Polis, guru kawal ketat kemasukan calon SPM  - Utusan Malaysia

Polis, guru kawal ketat kemasukan calon SPM 

AFZANIZAR (kiri) bersama Pengetua SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam, Melaka, Mohd. Yusri Seman selepas selesai memantau pematuhan SOP oleh calon-calon SPM. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pegawai-pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini mengawal ketat kemasukan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dewan peperiksaan bagi menduduki kertas pertama subjek Bahasa Melayu pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, seramai 40 PPS dari daerahnya turut berada di 39 buah sekolah seawal pukul 6.30 pagi tadi. 

Beliau berkata, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) itu meliputi borang perisytiharan kesihatan dan perjalanan setiap pelajar yang perlu dihantar di kaunter pemeriksaan sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan. 

“Prosedur ini merupakan usaha sama antara pihak polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah dalam memastikan setiap calon bebas daripada sebarang risiko dan simptom Covid-19. 

“Semua calon dikehendaki mengisi borang perisyiharan kesihatan dan perjalanan mereka untuk diteliti oleh guru dan PPS sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pematuhan SOP oleh 357 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam di sini, hari ini.

Seramai 13,464 calon SPM daripada 74 buah sekolah di Melaka akan menduduki peperiksaan pada hari ini dengan melibatkan seramai 1,312 petugas.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, semua guru-guru yang terlibat dengan pelaksanaan SPM juga telah diberikan keutamaan di jalan raya termasuk dengan menyediakan laluan khas buat mereka di setiap sekatan jalan raya (SJR). 

“Kita telah membuka laluan ekspres bagi guru-guru yang terlibat untuk memastikan perjalanan mereka ke sekolah berjalan lancar. 

“Di daerah ini terdapat lima pusat penyimpanan kertas soalan sulit SPM yang perlu diambil oleh guru-guru untuk diedarkan di dewan setiap sekolah,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, calon-calon SPM mula datang ke sekolah seawal pukul 6.30 pagi.

Salah seorang bapa pelajar, Amir Omar, 43, berkata, dia sanggup mengambil cuti pada hari pertama anak sulungnya itu menduduki peperiksaan bagi memastikan remaja itu mendapat sokongan diperlukan dalam menempuhi suasana baharu peperiksaan. 

“Sedia maklum, tahun-tahun sebelum ini kebiasaannya pihak sekolah bersama-sama ibu bapa akan mengadakan solat hajat, namun suasana sangat berbeza bagi anak saya tahun ini malah pengajian juga banyak dilakukan secara perseorangan kerana pandemik Covid-19. 

“Saya sekeluarga masih meletakkan kepercayaan pada anak kami, Fatin Maisarah Amir, 18, dan berharap dia boleh menjawab peperiksaan dengan tenang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN