TASEK GELUGOR: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang secara umumnya bersetuju membentuk kerjasama dengan parti Gerakan bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Shabudin Yahaya susulan satu pertemuan yang diadakan bersama pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini.
Menurut Shabudin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, pertemuan itu antara lain membincangkan persediaan untuk Gerakan menjalin kerjasama bersama PN serta soal pengagihan kerusi kepada parti yang pernah menerajui Pulau Pinang itu.
“Kami (PN Pulau Pinang) mengalu-alukan kehadiran mereka dan perbincangan awal kita itu sebenarnya lebih kepada mencari kaedah terbaik untuk membentuk persefahaman bersama.
“Untuk itu juga, Ahad ini (lusa) kita akan adakan mesyuarat pertama jawatankuasa PN peringkat negeri dan jika tiada halangan, Gerakan akan menyertai mesyuarat yang berikutnya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan van jenazah kepada pengurusan Masjid Jamek Al-Islah, Pokok Tampang di sini, hari ini.
Penyerahan tersebut merupakan sumbangan kali keenam oleh pejabat Ahli Parlimen Tasek Gelugor setakat ini dan dijangka dua buah van jenazah lagi akan disumbangkan sepanjang tahun ini.
Mengulas soal pengagihan kerusi kepada Gerakan kata Shabudin, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan bukannya keputusan.
“Kita perlu bincang semula (soal pembahagian kerusi untuk Gerakan) di peringkat PN bersama Pas serta parti komponen lain selepas ini.
“Buat masa ini, kita nampak kehadiran mereka lebih kepada soal persediaan untuk memastikan PN lebih berkesan dalam kempen di Pulau Pinang sekali gus memenuhi hala tuju kita untuk kembali merampas Pulau Pinang dan kita memang bersedia untuk ke arah itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE