PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-Biontech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11, di sini, sebentar tadi.
Selain Perdana Menteri, turut menerima suntikan vaksin ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah
Suntikan ke atas dua individu terpenting negara itu dibuat sempena pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Pertama.
Sebelum itu, Muhyiddin yang tiba jam 2.25 petang disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta Dr. Noor Hisham.
Pemimpin nombor satu negara itu kemudian dibawa ke auditorium PKD terbabit bagi sesi taklimat video secara ringkas mengenai vaksin terbabit.
Selepas itu, beliau dan Dr. Noor Hisham menandatangani surat kebenaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 selain membuat deklarasi kesihatan dan penerangan secara lisan oleh pegawai perubatan.
Selesai penerangan ringkas, Muhyiddin dibawa ke stesen suntikan sebelum diberi penerangan ringkas sebelum disuntik vaksin menggunakan picagari khas Low Dead Volume (LDV) oleh
Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina ibrahim yang dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar, jam 2.42 petang
Muhyiddn kemudian menunjukkan playkad, Lindungi Diri, Lindungi Semua bagi menunjukkan program imunisasi yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk melindungi rakyat Malaysia dari wabak Covid-19.
Beliau kemudian dibawa ke bilik khas untuk berehat selama 30 minit seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) ke atas mana-mana individu yang mengambil suntikan vaksin COvid-19 selepas membuat temujanji untuk pengambilan dos kedua melalui aplikasi Mysejahtera menggunakan telefon bimbitnya.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham pula berjaya disuntik vaksin Covid-19, 10 minit kemudian sebelum dibawa ke bilik khas bagi menjalani proses pasca suntikan.
Selain dua pemimpin itu, enam petugas kesihatan juga menerima suntikan vaksin iaitu Pegawai Perubatan, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu KKM, Clement a/l Marai Francis manakala tiga jururawat iaitu, Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin. – UTUSAN ONLINE