PKSP, Yayasan Minda ceriakan 41 keluarga - Utusan Malaysia

PKSP, Yayasan Minda ceriakan 41 keluarga

IBRAHIM (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada Md. Rejab di Kuil Sri Maha Maariamman Devasthanam, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, hari ini. UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kehadiran Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan (PKSP) dan Yayasan Minda hari ini membawa keceriaan kepada 41 keluarga menerusi penyaluran bantuan barangan keperluan asas.

Semua penerima itu terdiri daripada individu berpendapatan rendah (B40), orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Seorang penerima OKU, Md. Rejab Chin, 50, dia menghargai sumbangan berkenaan yang membantu kehidupan seharian keluarganya.

“Golongan cacat fizikal kaki dan tangan seperti saya amat memerlukan perhatian sewajarnya terutama ketika musim pandemik ini.

“Oleh demikian, saya berharap semua pihak lain turut bersama menghulurkan sumbangan untuk membantu kami,” katanya yang berkerusi roda.

Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan itu di Kuil Sri Maha Maariamman Devasthanam, Seksyen 7 di sini dihadiri Pengerusi Yayasan Minda, Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah, Setiausaha PKSP, Prof. Madya Dr. Sara Chinnasamy dan Pengerusi kuil itu, R. Mohan Raj.

Sementara itu, Ibrahim Shah berkata, program itu bertujuan meringankan beban golongan berkenaan untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika musim pandemik.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini hanya memfokuskan kepada isu pembangunan institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah di seluruh negara.

“Namun, kita terpanggil untuk berkoloborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas melihat keperitan golongan tertentu yang terkesan akibat Covid-19.

“Golongan kurang berkemampuan seumpama itu amat memerlukan bantuan secara berterusan kerana kita tidak tahu bila pandemik akan berakhir,” katanya.

Tambah Ibrahim Shah, pihaknya berharap semua pihak termasuk syarikat korporat terus menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN