PKPD terbaharu di Kampung Teluk, Setiawan, Perak - Utusan Malaysia

PKPD terbaharu di Kampung Teluk, Setiawan, Perak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 400 penduduk di Kampung Teluk dekat Setiawan, Perak bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula pada esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan peningkatan kes baharu wabak Covid-19 di lokaliti tersebut.

“Sehingga semalam, kementerian itu melakukan 43 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes positif direkodkan,” katanya menerusi kenyataan di ibu negara hari ini.

Justeru ujarnya, setelah membuat penilaian risiko bersama-sama pelbagai agensi dalam jawatankuasa teknikal, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD sehingga 24 Februari depan.

Pelaksanaan itu jelas beliau, untuk memudahkan pihak kementerian menjalankan saringan bersasar melibatkan penduduk dan bagi mengawal jangkitan dalam komuniti berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah membuat 57 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara.

“Hasil pemeriksaan semalam, mereka mendapati kesemua tapak tersebut beroperasi dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya lagi.

Secara kumulatif jelas beliau, pihak CIDB sudah berjaya melakukan sejumlah 15,188 pemeriksaan yang melibatkan sebanyak 8,602 tapak binaan di negara ini sejak 20 April tahun lalu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN