PKPD di 2 lokaliti di Perak dan Sarawak mulai esok - Utusan Malaysia

PKPD di 2 lokaliti di Perak dan Sarawak mulai esok

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah sekolah di Perak dan dua perkampungan di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 19 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu meliputi Sekolah Menengah Sultan Idris Shah II di Gerik setelah penilaian risiko oleh pelbagai agensi.

“Sehingga 2 Februari, Kementerian Kesihatan melakukan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sejumlah 24 kes positif Covid-19 direkodkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pelaksanaan PKPD itu ujar beliau bagi memudahkan kementerian melaksanakan saringan bersasar di sekolah yang berkeluasan 4.2 hektar dan mengawal jangkitan dalam komuniti.

 Sekolah tertua di Daerah Gerik itu terletak dalam kawasan berpagar dan mempunyai dua blok bangunan asrama pelajar lelaki dan perempuan selain tujuh buah rumah guru warden.

Ia merupakan institusi pendidikan kedua di Perak yang dikenakan PKPD selepas Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Yahyawiyah di Padang Rengas pada November lalu.

 Turut dikenakan PKPD ialah Kampung Sebako 1 dan 2 di Daerah Lundu, Sarawak ekoran 31 kes baharu Covid-19 daripada sejumlah 790 ujian saringan yang direkodkan setakat hari ini.

“Bantuan bekalan makanan akan diselaraskan secara bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kuching kerana penduduk tidak dibenarkan keluar,” tegas Ismail Sabri.

Beliau menambah, wakil keluarga boleh menghubungi terus Bilik Gerakan Operasi Bahagian Kuching untuk permohonan pergerakan kecemasan bagi kes sakit atau kematian.

Dalam pada itu, dua lagi lokaliti di negeri tersebut yang dikenakan PKPD iaitu Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir, Dalat, dilanjutkan lagi sehingga 16 Februari depan

Sehingga 3 Februari lalu ujarnya, sebanyak 21 kes positif dicatatkan dan kementerian itu turut mengesahkan ada baki 2,021 sampel saringan sedang menunggu keputusan makmal.  

Justeru katanya, PKPD di dua perkampungan tersebut yang dijadualkan tamat pada 10 Februari depan terpaksa ditambah selama enam hari lagi bagi mengekang penularan baharu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN