PKPD di 2 kampung di Sabah, Sarawak - Utusan Malaysia

PKPD di 2 kampung di Sabah, Sarawak

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua buah perkampungan di Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak bermula pada esok.

Pelaksanaan PKPD terbaharu di kedua-dua lokaliti yang terletak dalam kawasan luar bandar itu akan berlangsung selama tempoh 14 hari mulai 23 Februari ini sehingga 8 Mac depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, salah satu lokaliti PKPD tersebut ialah di Kampung Tanah Merah, Daerah Kota Marudu, Bahagian Kudat di Sabah.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan melaksanakan 226 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 57 orang didapati positif Covid-19,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Justeru ujarnya, setelah dibuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal dan atas nasihat kementerian itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di situ.

Pelaksanaan PKPD ini kata beliau, bagi memudahkan kementerian itu melakukan saringan secara bersasar ke atas sejumlah 545 penduduk dan mengawal jangkitan dalam komuniti.

Kampung Tanah Merah terletak berdekatan Sungai Matunggong dan dihubungkan dengan Jalan Kota Belud-Kudat serta jaraknya 134 kilometer dari ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Kebanyakan penduduknya merupakan etnik Kadazan Dusun selain Bajau, Melayu dan kaum Bumiputera lain yang melakukan aktiviti nelayan serta perdagangan laut di Teluk Marudu.

Turut dikenakan PKPD tambah Ismail Sabri lagi ialah Kampung Emperoh Jambu, Padawan, Bahagian Kuching di Sarawak yang hanya melibatkan sejumlah 1,215 orang penduduknya.

“Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan sudah pun merekodkan sebanyak 60 kes positif dan berlaku peningkatan secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan agak tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, PKPD ujar beliau, perlu dilaksanakan segera bagi memudahkan kementerian tersebut melakukan saringan secara bersasar dan mengawal pergerakan penularan wabak.

Kampung berkenaan terletak hanya 60 kilometer dari ibu negeri Sarawak, Kuching dengan sebahagian besar penduduknya dari kalangan etnik Bidayuh yang majoriti beragama Kristian.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya