JOHOR BAHRU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini dipercayai mempengaruhi permintaan pengeluaran buah nanas jenis Moris berkurangan hingga menyebabkan lambakan buah itu tidak laku di pasaran.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pembatalan pembelian oleh pihak pemborong mengikut jadual pengeluaran yang telah dipersetujui turut menyebabkan buah nanas itu mengalami masalah untuk dipasarkan.
Katanya, perkara terbabit memberi kesan kepada sebilangan pekebun nanas jenis Moris lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berdaftar di bawah LPNM.
“LPNM akan berusaha untuk membantu pekebun terlibat memasarkan hasil pengeluaran dengan melaksanakan kolaborasi bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Dalam pada itu, LPNM juga akan mengadakan rundingan bersama pihak kilang pengetinan serta menganjurkan pemadanan pasaran membabitkan pemborong dan peruncit yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan sekumpulan pekebun kecil yang menanam buah nanas di tanah berkeluasan kira-kira 300 ekar di Kampung Parit Betak, Benut di Pontian runsing apabila tanaman mereka yang sudah boleh dituai berdepan lambakan ekoran aktiviti pembelian yang perlahan.
Rata-rata mereka yang menanam kira-kira 15,000 pokok bagi setiap ekar terpaksa menjual buah bervarieti Moris itu pada harga RM1 sebiji bagi mengelak buah rosak disebabkan peraih tidak mengambil tanaman itu dipercayai kerana kurang permintaan.
Isu tersebut turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di daerah Batu Pahat dan Kluang yang membabitkan sebilangan pekebun nanas jenis Moris yang berdaftar dan tidak berdaftar di bawah LPNM.
Dr. Sahruddin berkata, isu yang melibatkan pekebun tidak berdaftar juga telah menyebabkan beberapa laporan permasalahan berada di luar pengetahuan pihak LPNM atau FAMA sendiri.
\”Susulan itu, terdapat sesetengah pihak yang menuduh pihak kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul ini.
“Tetapi LPNM dan FAMA sudah mengambil langkah proaktif dengan membuat pemantauan awal di lapangan selain menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun yang terjejas dengan pembelian oleh FAMA dan pemadanan bersama pihak kilang pengetinan.
“Namun begitu, ada juga pekebun yang memilih untuk menjual sendiri nanas yang diusahakan masing-masing untuk mendapatkan keuntungan lebih,” katanya. -UTUSAN ONLINE