PKP, piza kayu api Ulicafe laris  - Utusan Malaysia

PKP, piza kayu api Ulicafe laris 

CHE Ku Nasir (kanan) bersama kembarnya, Che Ku Basir (kiri) menunjukkan antara piza kayu api yang dijual di Ulicafe di Kuala Terengganu. -UTUSAN/ Noradila Mahamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Memulakan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasangan kembar tidak menyangka jualan piza kayu api yang diusahakan mereka Ulicafe di Jalan Datuk Isaacs di sini tetap mendapat sambutan ramai.

Che Ku Nasir Che Ku Maidin, 40, berkata, sejak beroperasi empat hari lalu, tempahan piza klasik yang dibakar menggunakan ketuhar kayu api itu mencecah sehingga 100 sehari.

Katanya, sambutan luar jangkaan itu berkemungkinan kerana ramai yang menggemari hidangan piza yang dimasak secara tradisional dengan aroma lebih asli. 

“Proses asal penyediaan piza di Itali memang menggunakan konsep sebegini dan kita cuma mengetengahkan semula untuk mencari kelainan berbanding piza yang ada di pasaran. 

“Terdapat empat pilihan piza di Ulicafe iaitu pepperoni daging dan ayam di samping daging salai serta ayam uli, namun pada musim PKP ini kita hanya menumpukan kepada saiz M (RM21) dan L (RM26),” katanya ketika ditemui pemberita semalam. 

Che Ku Nasir berkata, dia dan kembarnya, Che Ku Basir mengambil masa lebih sebulan untuk menyediakan piza klasik itu sebelum membuka perniagaan bagi memastikan kualiti piza dihasilkan memenuhi citarasa pelanggan. 

Katanya, setiap doh dibakar selama lima minit dalam ketuhar dengan menggunakan pelbagai kayu seperti kayu rambutan dan getah di samping tempurung kelapa pada suhu 300 darjah celcius.

Katanya, Ulicafe dibuka pada pukul 1 petang hingga 9 malam dan turut melakukan perkhidmatan penghantaran di sekitar bandar.  -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN