JOHOR BAHRU: Hasil jualan Pasaraya Econsave tidak terjejas sejak kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan lalu bahkan akan membuka dua hingga tiga lagi cawangan di Perak pada tahun ini.
Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, ini menjadikan Econsave akan memiliki 95 buah cawangan pasar raya itu di seluruh negara pada penghujung tahun ini, selain merancang untuk membuka beberapa lagi cawangan pada tahun akan datang.
“Soal penurunan hasil jualan ini bukanlah hanya dirasai oleh Econsave sahaja tetapi melibatkan pasar raya yang lain, namun ia tidaklah memudaratkan. Setakat ini, belum ada lagi mana-mana cawangan Econsave yang terjejas teruk sehingga terpaksa tutup operasinya.
“Daripada maklumat yang kita terima, pengurangan hasil jualan hanyalah satu digit sahaja, tidak lebih 10 peratus dan tidak begitu ketara,” katanya selepas menyampaikan 500 bungkusan makanan kepada wakil penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini, hari ini.
Sementara itu, Mas Imran berkata, antara faktor hasil jualan berkurangan di negeri ini adalah hilang kuasa pembeli pelanggan dari Singapura serta banyak isi rumah yang terjejas pendapatan disebabkan penularan wabak Covid-19.
“Biasanya, pada hari hujung minggu, kita menerima ramai kunjungan pelanggan yang datang dari Singapura untuk memberi barang mentah dan bekalan makanan di pasar raya. Ini adalah antara faktor penurunan hasil jualan,” katanya.
Ditanya sama ada mengalami masalah kekurangan hasil tanaman dan buah-buahan di negeri ini, beliau memberitahu, makanan mentah itu sentiasa mencukupi dan boleh didapati pada harga berpatutan memandangkan mendapat bekalan daripada pembekal tempatan di sekitar daerah ini.
“Kita tidak ada masalah kekurangan bekalan makanan, cuma masalah yang dialami adalah kekurangan pekerja. Jadi, kita amat memerlukan tenaga kerja yang ramai di negeri ini dan mengalu-alukan mereka yang hilang pekerjaan untuk menyertai kami,” katanya.
Jelasnya, Econsave mempunyai kira-kira 200 kekosongan jawatan di negeri ini bagi jawatan pekerja am, pekerja stor dan kerani.
Sementara itu, beliau berkata, sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pasar raya tersebut, Econsave telah mengagihkan sebanyak 18,000 bungkusan bekalan makanan kepada keluarga yang memerlukan pada tahun lalu di beberapa kawasan antaranya di bandar raya ini, Pasir Gudang, Kulai, Senai dan Pontian.
“Hari ini adalah program pertama buat Econsave bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan selepas ini akan ada lagi program susulan untuk kita sampaikan bantuan kepada keluarga di kawasan yang mempunyai ramai penduduk berpendapatan rendah.
“Kita berhasrat untuk menyumbangkan kira-kira 20,000 bungkusan bekalan makanan sepanjang PKP 2.0 yang dilaksanakan ketika ini sehingga 4 Mac ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE