PKP berjaya kekang penularan Covid-19 di Kedah

PKP berjaya kekang penularan Covid-19 di Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini sekali gus membawa kepada paras kadar kebolehjangkitan (Rnaught) yang lebih rendah pada masa ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada penularan kes tempatan dikesan di Kedah dengan kebanyakan kes didapati diimport dari negeri lain serta penularan dalam penjara sebelum ini.

“Ketika ini kadar Rnaught di Kedah lebih rendah berbanding Rnaught di peringkat nasional iaitu cuma 0.9. PKP pada masa ini sangat membantu kerana sebelum ini kebanyakan kes diimport dari negeri jiran oleh pekerja yang bertugas di negeri tersebut.

“Selain itu, kes Covid-19 di Kedah ini disumbangkan oleh banduan transit yang dibawa untuk menumpang dalam penjara di Kedah. Mungkin kerana tangkapan berlaku di Kedah dan mereka ditumpangkan dalam penjara di sini sementara menunggu bicara, semasa itulah penularan wabak itu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Penyampaian Dividen Ladang Sejahtera, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Charuk Tualang dekat sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi KEDA, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Pada majlis itu, seramai 50 peserta Projek Ladang Sejahtera KEDA di Bendang Man, Sik menerima dividen berjumlah RM300 setiap seorang.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, kalangan pemimpin perlu bersedia menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin bagi meyakinkan rakyat mengenai tahap keselamatannya.

“Sebab itu saya bersedia untuk menjadi salah seorang daripada individu terawal yang menerima suntikan tersebut. Sebagai pemimpin, kita patut bersedia terlebih dulu agar orang ramai tidak merasa takut.

“Saya fikir kerajaan telah membuat penelitian rapi untuk memilih jenis vaksin terbaik. Diharapkan agar program ini mendapat sokongan rakyat kerana kita mengeluarkan belanja cukup besar bagi memastikan penularan Covid-19 ini dapat dikawal,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN