PKP: Belia Kampung Kerandang bangunkan D’Baruh Padi - Utusan Malaysia

PKP: Belia Kampung Kerandang bangunkan D’Baruh Padi

INISIATIF pemuda Kampung Kerandang di Jabi, Besut menceriakan kawasan sawah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menarik pengunjung ke D’Baruh Padi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dimanfaatkan pemuda Kampung Kerandang di Jabi di sini untuk bergotong-royong mengindahkan kawasan sawah padi di perkampungan mereka hingga mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di daerah ini.

Wakilnya, Wan Mohd. Rozi Wan Nawang, 35, berkata, usaha yang digerakkan secara berperingkat sejak sebulan lalu itu berjaya mengubah suasana biasa sawah padi di kampung kecil tersebut kepada panorama yang lebih ceria.

Katanya, idea untuk membangunkan D’Baruh Padi itu tercetus kerana lokasinya yang strategik bagi aktiviti pelancongan.

Menurut pengusaha kafe itu, berbekalkan duit simpanan kira-kira RM2,000, dia bersama seorang rakan, Mohd. Fazrin Ghani, 27, memulakan kerja-kerja memasang pagar sepanjang 100 meter di sekitar bendang milik sahabat mereka.

“Selain pagar, kita turut membina ruangan selfie yang membolehkan orang ramai bergambar dengan berlatarbelakangkan panorama indah padi di samping hiasan orang-orang dan bendera Malaysia.

“Usaha kami mendapat sokongan seluruh penduduk kampung dan semua belia teruja membantu menyiapkan hiasan-hiasan bagi diletakkan di sekitar kawasan D’Baruh Padi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain ruangan selfie, antara tarikan yang terdapat di D’Baruh Padi yang sepanjang 2.5 kilometer itu ialah buaian dan kincir angin yang dihasilkan daripada barangan terbuang.

Menurut Wan Mohd. Rozi, keunikan yang ditampilkan itu mendapat sambutan luar jangkaan dan menarik orang ramai untuk berjoging dan bersantai di sekeliling sawah padi tersebut.

“Kawasan ini berpotensi untuk pelancongan berasaskan komuniti dan kita dalam proses membuat kertas kerja untuk mendapatkan dana bagi merancakkan lagi kerja-kerja penambahbaikan.

“Mungkin selepas ini kita akan membina wakaf di beberapa tempat di samping menganjurkan pertandingan orang-orang dan layang-layang serta merancang aktiviti yang mengimbau nostalgia zaman kecil seperti menangkap ikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN