KOTA BHARU: Tahap pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan-peraturan berkaitan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 secara keseluruhan masih kurang memuaskan.
Mengakui perkara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berharap orang ramai dapat memperbaiki tahap pematuhan tersebut sepanjang tempoh baharu PKP 2.0 yang akan disambung sehingga 18 Februari depan.
Dalam masa sama katanya, pemimpin dalam komuniti seperti imam dan penghulu digesa memainkan peranan lebih aktif menyebarluas kepentingan pematuhan SOP bagi melandaikan graf Covid-19 di negara ini.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan supaya angka kes itu semakin hari semakin menurun sehingga kita dapat capai sifar kes, itu sekali gus memberi kebaikan kepada seluruh rakyat.
“Malah ekonomi juga dapat bergerak semula seperti sebelum ini,” katanya selepas menghadiri Program Info On Wheels (IOW): Kempen Pematuhan SOP Covid-19 di sekatan jalan raya (SJR) Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul. Rahim Daud.
Ditanya kemungkinan untuk kerajaan negeri memohon supaya Kelantan diberi kelonggaran kerana kes Covid-19 dilaporkan menurun dengan agak ketara di negeri ini, Ahmad berkata, perkara itu diserahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diteliti.
“Sebarang perubahan, kita tunggu maklumat daripada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Lagi pun sekarang negara kita dikenakan Ordinan Darurat,” katanya. – UTUSAN