SHAH ALAM: Sebanyak 695 mangsa dengan jumlah kerugian lebih RM9.99 juta direkodkan terpedaya dengan sindiket pinjaman peribadi tidak wujud, tahun lalu.
Jumlah itu mencatat peningkatan berbanding 2019 iaitu sebanyak RM8.39 juta melibatkan 734 mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew (gambar) berkata, pinjaman peribadi tidak wujud adalah sindiket penipuan melibatkan kononnya mangsa boleh mendapatkan wang dengan kadar segera tanpa syarat minimium dengan tidak memerlukan sebarang dokumentasi atau semakan melalui institusi perbankan berdaftar.
Beliau berkata, orang ramai mudah terpedaya dengan taktik digunakan sindiket penipuan pinjaman peribadi tidak wujud yang banyak dilakukan menerusi media sosial seperti laman sesawang, Facebook, Instagram, WhatsApp dan beberapa aplikasi sosial.
Katanya, sindiket mengambil kesempatan dengan mewujudkan akaun media sosial atau mencipta laman sesawang berhubung pinjaman tidak wujud dengan beberapa tawaran yang mampu menarik minat mangsa yang memerlukan duit dalam tempoh singkat.
“Mangsa menghubungi sindiket untuk membuat pinjaman dan mereka meminta supaya wang untuk memproses pembayaran dalam jumlah tertentu terlebih dahulu menerusi dalam talian.
“Contohnya, mangsa mahu membuat pinjaman sebanyak RM10,000 tetapi mereka diminta membayar wang untuk proses RM2,000 terlebih dahulu sebelum mendapatkan wang.
“Apabila membuat bayaran, sindiket menghilangkan diri dan ketika itu mangsa mula sedar dirinya ditipu kerana gagal menghubungi individu tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Yazid, pihaknya mengesan sindiket penipuan tidak wujud itu aktif menggunakan media sosial sejak 2019.
Beliau berkata, 80 peratus mangsa pinjaman peribadi tidak wujud adalah yang bekerja di sektor swasta manakala selebihnya terdiri daripada antaranya penjawat awam dan ahli perniagaan.
Jelasnya, kes pinjaman tidak wujud semakin serius apabila dalam tempoh sebulan iaitu sepanjang Januari lalu, sebanyak 63 kes dilaporkan dengan melibatkan jumlah kerugian RM668,983.70.
“Majoriti mangsa terdiri daripada sektor swasta iaitu 43 individu, diikuti ahli perniagaan (12 orang) dan empat penjawat awam. Mangsa bukan sahaja yang bekerja bahkan individu yang tidak bekerja dan pelajar juga tidak
terkecuali apabila masing-masing menerima tiga dan satu laporan.
“Statistik menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu hanya 38 kes dengan jumlah kerugian RM527,922.36 bagi tempoh yang sama,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa sindiket penipuan tidak wujud akan meningkat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan.
“Pada masa kini, masyarakat terbeban ekoran ekonomi terjejas kerana ada yang diberhentikan kerja dan mahu membuat pusingan modal untuk perniagaan mereka serta tidak kurang juga ada yang mahu membuat pengubahsuaian rumah.
“Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang dengan kadar segera tanpa menyedari tindakan tersebut merugikan,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya mengesan sindiket pinjaman tidak wujud itu tidak lagi menggunakan kaedah menampal di jalan-jalan raya kerana lebih mudah menggunakan media sosial. – UTUSAN ONLINE