Pinjam ah long tampung bisnes - Utusan Malaysia

Pinjam ah long tampung bisnes

ZAINI tidak mempunyai pilihan dan nekad meminjam wang daripada dua ah long bagi meneruskan perniagaan bengkel motosikal di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang terjejas teruk ekoran Covid-19. – UTUSAN/NOOR HASLIZA NUSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang pengusaha bengkel motosikal di sini terpaksa membuat pinjaman daripada ah long bagi meneruskan perniagaan yang diusahakan lebih 10 tahun lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Zaini, 47, berkata, tindakan itu dianggap keputusan terakhir untuk menyelamatkan perniagaan yang terjejas teruk sehingga 80 peratus di samping melangsaikan tunggakan hutang alat ganti dan minyak pelincir motosikal.

Menurut bapa tunggal kepada lima cahaya mata itu, kehidupannya berubah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

“Saya terpaksa buat keputusan berisiko dengan meminjam wang daripada dua ah long yang berlainan sejak Jun tahun lalu dan terkini pada dua minggu lalu dengan jumlah pinjaman RM10,000 dan RM2,000.

“Ini disebabkan saya perlu melangsaikan hutang membeli alat ganti motor berjumlah RM40,000 termasuk minyak pelincir. Hutang lama masih belum selesai, kini terpaksa pula berhutang daripada ah long,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Zaini, dia perlu menjelaskan RM100 sehari dalam tempoh sebulan bagi pinjam RM2,000 manakala RM1,400 dalam masa 10 hari untuk pinjaman RM10,000.

“Takut memang takut, tetapi saya sudah tiada saluran lain untuk mendapatkan wang. Jika dengan pihak bank, banyak proses yang perlu dilakukan sebelum permohonan dibuat.

“Saya juga perlu memikirkan gaji bulanan tiga daripada lima pekerja yang masing-masing menerima RM1,500, sewa premis RM600 sebulan, hutang kereta RM800 dan duit persekolahan anak-anak,” ujarnya yang telah menjual dua kereta kesayangan tahun lalu.

Dakwa Zaini, pendapatan hariannya kini tidak seperti sebelum ini dengan hanya menerima lima hingga enam buah motosikal sehari sehingga terpaksa bekerja lebih masa sebagai pembantu peniaga buah pada waktu malam dengan menerima upah RM60 hingga RM70 sehari.

Berbanding sebelum PKP, katanya, dia tidak menang tangan membaiki lebih 20 motosikal sehari selain mampu membeli alat ganti motosikal secara tunai sehingga RM30,000 sebulan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN