PH kekal kerajaan jika ahli Parlimen sokong saya - Tun M - Utusan Malaysia

PH kekal kerajaan jika ahli Parlimen sokong saya – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan kekal memegang tampuk pimpinan Persekutuan jika ahli Parlimennya memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. 

Bagaimanapun, berikutan ahli Parlimen PH sanggup memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga undi berpecah kepada dua kelompok, maka, keadaan itu menyebabkan PH jatuh kerana kedua-duanya gagal mendapat sokongan majoriti. 

Ini sekaligus membuka jalan kepada Tan Sri Muhyiddin yang membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membelot dari PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kerajaan hari ini. 

Mahathir menegaskan, kenyataan sama sebelum ini bahawa Anwar hanya mendapat 92 pencalonan dari PH manakala beliau mendapat 62 pencalonan kerana beberapa Ahli Parlimen PH menolaknya. 

“PH yang sepatutnya cadang saya, (sebaliknya) telah cadang Anwar kononnya kerana dia mendapat cukup bilang disebabkan sokongan dari Sabah dan Sarawak.

“Jika PH calon saya seperti yang saya berhak dapat, saya akan dapat 154 undi. Saya sanggup kembali sebagai perdana menteri walaupun Bersatu tolak saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Pada 23 Februari tahun lalu, PH tumbang selepas Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR berpaling tadah daripada gagasan itu. 

Pada malam tarikh sama, Bersatu mengadakan majlis makan malam bersama Pas dan UMNO sebagai rancangan membentuk kerajaan baharu secara jalan pintas tanpa melalui pilihan raya umum. 

PH sebelum ini membentuk kerajaan secara sah dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen iaitu Bersatu, DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) dan sekutunya Parti Warisan Sabah (Warisan) serta UPKO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018, namun kini hanya mempunyai 102 kerusi.

Mahathir mengulangi kenyataan bahawa tindakannya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau sudah tidak mendapat kepercayaan daripada anggota partinya walaupun sudah meminta Bersatu menangguhkan hasrat untuk membelot dari PH. 

“Saya jatuh bersama dengan kejatuhan PH. Tidak munasabah saya terus jadi perdana menteri apabila PH tidak lagi jadi kerajaan.

“Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berpendapat kerajaan PH jatuh kerana saya letak jawatan. Jika PH masih ada majoriti, ia tidak akan jatuh. PH boleh pilih ahli Dewan Rakyat lain untuk jadi perdana menteri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya