PGA rampas 810 kg daun ketum - Utusan Malaysia

PGA rampas 810 kg daun ketum

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 810 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM24,300 dalam empat rampasan berasingan sejak Jumaat lalu di Padang Besar, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Penyeludup seperti mengambil kesempatan bersempena cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini bagi melakukan aktiviti menyeludup ketum secara berleluasa di sini.

Bagaimanapun, kegiatan tersebut berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berjaya merampas 810 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM24,300 dalam empat rampasan berasingan sejak Jumaat lalu.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata,
rampasan terbesar melibatkan 510 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM15,300 ketika menjalankan penugasan di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Ahad lalu.

Katanya, anggota bertugas yang melakukan rondaan di kawasan tersebut kira-kira 5.45 petang ternampak sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Mengesyaki kumpulan tersebut cuba menjalankan aktiviti penyeludupan, anggota PGA telah menghampiri kumpulan tersebut. Namun, kumpulan itu bertindak melarikan diri ke arah hutan berdekatan setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pemeriksaan di kawasan sekitar telah menemukan 17 guni putih sarat mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum. Pihak kami membawa kesemua guni yang ditemukan itu ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani memberitahu, pihaknya turut merampas 180 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM5,400 berhampiran tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) 842, KTJ di Pos PB 19, Jumaat lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, anggota PGA yang membuat rondaan ternampak sekumpulan lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dengan membawa guni putih.

“Anggota yang mengesyaki kumpulan berkenaan menjalankan aktiviti penyeludupan terus mengejar mereka, namun, kumpulan itu melarikan diri ke arah kebun berhampiran dengan meninggalkan motosikal dan guni-guni yang dibawa itu.

“Pemeriksaan di kawasan sekitar telah menemukan enam guni putih sarat mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dan empat buah motosikal,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya juga berjaya merampas 30 kilogram daun ketum pada Sabtu dan 90 kilogram lagi pada Ahad masing-masing di kebun getah berhampiran Pos BKC B 17 dan tiang TNB 875 KTJ berhampiran Pos PB 19 dengan nilai keseluruhan kira-kira RM3,600.

“Kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya