KOTA BHARU: Kehidupan keluarga miskin dari Kampung Lubuk Jambu, Badang di sini suram selepas salah seorang anak mereka, Nur Shafiqah Fauzi, 7, didapati mempunyai ketumbuhan dalam kepala.
Bagi menyara keluarga dan menampung kos rawatan si anak, Fauzi Jusoh, 41, bertungkus-lumus mencari rezeki setiap hari dengan cara mengambil upah memetik kelapa.
Bagi setiap 100 biji kelapa dipetik menggunakan dua ekor beruk yang dipinjamkan penduduk kampung, dia menerima upah sebanyak RM15.
Isterinya, Zuraidah Husin, 39, pula berusaha meringankan beban Fauzi sebagai ketua keluarga dengan mencanting batik dan menerima upah sekitar RM30 hingga RM50 seminggu.
“Dengan hasil upah itulah kami guna untuk rawatan Nur Shafiqah di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Doktor kata mahu bedah anak saya tetapi saya tidak mengizinkan kerana bimbang keadaannya.
“Ketika musim Covid-19 ini, hidup kami semakin perit dan sudah jarang bawa Nur Shafiqah ke hospital kerana tidak mampu berulang-alik ke sana,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain Nur Shafiqah, pasangan itu perlu menyara empat lagi anak mereka iaitu Muhammad Aiman Sharif, 17; Siti Norliana, 13; Mohammad Shahril, 11; dan Mohammad Fahmie, 3.
Gara-gara kemiskinan yang ki an menghimpit, Zuraidah berkata, anak sulung mereka, Muhammad Aiman Sharif memilih berhenti sekolah dan kini bekerja sebagai buruh bagi mencari pendapatan tambahan untuk keluarga.
“Adiknya, Siti Norliana masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang manakala Mohammad Shahril di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris. Mujurlah mereka terima bantuan persekolahan RM100 setiap seorang,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasonal (BSN) 153010804686 atas nama Zuraidah Husin atau menghubungi wanita itu di talian 012-8626523.