PASIR GUDANG: Hidup pesara bomba bertukar 360 darjah setelah mengalami sakit saraf tunjang selepas terjatuh tangga ketika menukar lampu di ruang tamu rumahnya di Blok 64, Taman Air Biru, di sini awal Oktober yang lalu.
Detik hitam itu menyebabkan lebih separuh badan Jalani Saat, 54, gagal berfungsi daripada paras dada sehingga hujung kaki selain pergerakan tangannya juga terhad dan lemah.
Kini, Jalani tidak lagi aktif seperti sebelumnya, hanya mampu terbaring di atas tilam dan memerlukan bantuan isterinya, Azizah Khamis, 50, yang menjaga makan minum serta membersih diri.
Mendengar perkhabaran duka itu, Azizah pula terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penyelia di sebuah kilang di sini dan berpindah ke rumah teres di Lorong 21, Taman Air Biru bagi memudahkan pergerakan membawa suami mendapat pemeriksaan di hospital.
Menurut ibu kepada lima cahaya mata itu, selepas kejadian itu, suaminya masih boleh berjalan seperti biasa dan hanya mengadu sakit pinggang sebelum ia terus melarat.
“Ketika dia menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar KPJ pada bulan Oktober yang lalu, doktor memaklumkan bahawa suami sakit tulang belakang hingga menyebabkan ia bernanah dan terpaksa memasukkan tiub bagi menyedutnya keluar.
“Suami kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada November dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat jangkitan kuman dalam paru-paru dan dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, pasangan itu menerima perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kami Prihatin yang menyumbang sebuah katil hospital berharga lebih RM3,000.
Tambah Azizah, doktor juga tidak meletakkan harapan terhadap suaminya yang berkhidmat selama 25 tahun dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) setelah mendapati Jalani menderita sakit tulang belakang, pyogenic spondylodiscitis yang memerlukan rawatan berterusan.
“Suami masih boleh bercakap dan makan makanan seperti bubur serta nasi dengan lauk berkuah, tetapi wang pencen suami banyak dihabiskan untuk membeli susu, lampin, vitamin dan tisu basah. Mujur, anak-anak turut berkongsi tanggungjawab dan membantu membeli keperluan utama buat ayah mereka,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Kami Prihatin merangkap Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya terpanggil menyampaikan sumbangan itu bagi memudahkan keluarga menguruskan Jalani.
“Diharapkan sumbangan katil berserta barang keperluan harian dapat meringankan beban Jalani dan isteri. Kita akan sentiasa lihat keperluan mereka dari masa ke semasa termasuk menimbang untuk memberikan bantuan kerusi roda,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung terus dengan Azizah di talian 012-758 0285 atau menerusi akaun Maybank 101244160123 atas namanya. -UTUSAN ONLINE