Pesanan pelik petanda bapa akan pergi selama-lamanya - Utusan Malaysia

Pesanan pelik petanda bapa akan pergi selama-lamanya

KEADAAN pondok di kebun jambu batu yang terbakar menyebabkan seorang lelaki warga emas maut di Tambun, Ipoh semalam. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Lelaki warga emas yang maut dalam kebakaran pondok di kebun jambu batu dekat Tambun semalam seolah-olah tahu dia akan pergi untuk selama-lamanya apabila sempat menitipkan pesan kepada menantu lelakinya.

Pesanan ‘pelik’ berbunyi ‘telah penat dan mahu jalan’ itu dibuat mangsa, Lye Yoon Pheng, 71, menerusi panggilan telefon kepada lelaki terbabit sebelum mangsa mematikan panggilan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, Yoon Pheng ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan pondok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, berdasarkan temu bual dengan anak mangsa, lelaki itu memaklumkan ada berhubung dengan bapanya minggu lalu dan memberitahu warga emas itu yang mereka tidak dapat berjumpa selalu termasuk pada perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, anak mangsa ada menjelaskan kepada lelaki itu bahawa pergerakan kini terhad selain perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Anak mangsa mendakwa, bapanya itu kemungkinan besar telah tersalah faham maksud sebenar kata-katanya.

“Bapanya itu tidak tinggal di pondok berkenaan dan hanya datang untuk menjaga kebun jambu batu miliknya yang telah diusahakan sejak 30 tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang senjata selain hanya terdapat zink yang berselerak dan tiang konkrit sahaja. 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, dua jentera bersama sepasukan 14 anggota dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Katanya, setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati pondok berkenaan telah terbakar kira-kira 90 peratus dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Pada mulanya, pihak bomba menerima maklumat kebakaran lalang, namun, mendapati kejadian adalah melibatkan kebakaran sebuah pondok.

“Operasi pemadaman segera dijalankan sebelum anggota menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung di bawah timbunan zink,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya